Tuesday, January 4, 2011

Pekeliling Pengetua Bil 1/2011

PEKELILING PENGETUA BILANGAN 1/2011
ANUGERAH INOVASI SMK TUN MUTAHIR 2011
1.O Tujuan
Untuk memaklumkan kepada guru-guru dan staf sokongan sekolah ini mengenai sistem pemberiaan Anugerah Inovasi 2011 bagi yang telah berjaya memperkenalkan sesuatu inovasi dalam tugas mereka.
2.0 Definisi Inovasi
Setiap guru dan staf sokongan adalah perlu memperkenalkan inovasi atau idea-idea baru dalam semua aspek kerja untuk menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti. Perubahan-perubahan ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti aplikasi penggunaan teknologi canggih terkini, perubahan-perubahan prosedur yang boleh menjimatkan tenaga, masa dan kos, kajian tindakan dan lain-lain cara yang sesuai.
3.0 Kategori Pemenang Anugerah Inovasi
Anugerah akan diberikan kepada kategori berikut:-
(a) Sebuah panitia
(b) Sebuah Unit/Jawatankuasa
(c) 10 orang guru/kaunselor (individu)
(d) 3 orang staf sokongan
(e) 1 orang pentadbir
yang benar-benar terlibat dalam merancang dan melaksanakan sesuatu inovasi itu.
4.0 Bentuk Anugerah
(a) Sebuah tropi
(b) Sijil
yang ditulis dengan cogan kata Anugerah Inovasi SMK Tun Mutahir 2011.
Sijil-sijil Penghargaan akan diberikan kepada mana-mana panitia, unit-unit, guru-guru, staf sokongan serta pentadbir yang terpilih untuk saringan terakhir.
5.0 Kriteria-kriteria Penilaian Untuk Mengiktiraf Sesuatu Perubahan Sebagai Inovasi
Kriteria-kriteria adalah berasaskan impak atau faedah-faedah hasil sesuatu inovasi atau perubahan-perubahan seperti berikut:-
(a) Setakat mana sesuatu inovasi atau perubahan telah mengurangkan kos operasi
(b) Setakat mana sesuatu inovasi atau perubahan telah menjimatkan masa dalam sesuatu urusan
(c) Setakat mana sesuatu inovasi atau perubahan telah meningkat prestasi kerja
(d) Setakat mana sesuatu inovasi atau perubahan telah meningkatkan kepuasan stakeholder
6.0 Cara Pelaksanaan
Setiap panitia, unit, jawatankuasa, guru-guru, staf sokongan dan pentadbir wajib melaksanakan sekurang-kurangnya satu program inovasi. Laporan hendaklah disediakan dan dihantar kepada Urusetia Anugerah Inovasi SMK Tun Mutahir 2011 (u.p: Puan Latifah Hassan) sebelum atau pada 30 SEPTEMBER 2011). Laporan hendaklah mengandungi tiga perkara berikut:
(a) Kedudukan sebelum inovasi dilaksanakan;
(b) Inovasi yang telah dilaksanakan; dan
(c) Faedah-faedah (Impak) dari inovasi yang dilaksanakan.

Pengetua SMK Tun Mutahir
03 Januari 2011