Sunday, January 23, 2011

PEKELILING PENGETUA BILANGAN 7/2011 KESELAMATAN DIRI MURID SEMASA PERJALANAN PERGI DAN BALIK SEKOLAH

KEPADA:
Ibu Bapa / Penjaga dan Murid
SMK Tun Mutahir,
Batu Berendam,
75350 Melaka

KESELAMATAN DIRI MURID SEMASA PERJALANAN PERGI DAN BALIK SEKOLAH

Pendahuluan

Keselamatan diri murid dalam perjalanan pergi dan balik ke sekolah memerlukan perhatian serius kerana banyak kemalangan boleh berlaku sekiranya semua pihak tidak peka.
Rasional
• Ramai murid yang pergi dan balik sekolah terdedah dengan bahaya akibat kecuaian ataupun tidak mementingkan aspek keselamatan.
• Kurang kesedaran daripada keluarga dan masyarakat dari segi menjaga keselamatan diri murid pergi dan balik sekolah.
• Keupayaan sekolah dalam menangani isu-isu keselamatan di luar kawasan sekolah amat terbatas tanpa sokongan keluarga dan masyarakat.
• Perlunya pihak sekolah menyediakan persekitaran yang selamat untuk warga sekolah melalui pendidikan keselamatan diri dalam perjalanan pergi dan balik.

Objektif

• Menyedia dan menyebarkan maklumat tentang tatacara tindakan keselamatan diri murid pergi dan balik sekolah.
• Mengenal pasti masalah berkaitan penggunaan laluan perjalanan pergi dan balik sekolah.
• Semua pihak faham dan bertindak berdasarkan tatacara yang disediakan apabila melibatkan keselamatan diri murid pergi dan balik sekolah.
• Mengambil tindakan yang betul berdasarkan peraturan yang disediakan.

Peranan Murid

• Anda mesti memastikan kenderaan yang anda naiki ke sekolah adalah selamat.
• Anda mesti mematuhi arahan pihak yang mengawal kenderaan seperti pemandu dan polis.
• Memahami dan mengamalkan peraturan mengenai keselamatan diri dalam perjalanan ke sekolah.
• Anda hendaklah sepanjang masa mengamalkan langkah-langkah keselamatan seperti berikut:

o Sentiasa sedar dan peka tentang kemungkinan berlakunya perbuatan jenayah ke atas diri anda.
o Berjalan dalam kumpulan dan menggunakan laluan yang selamat.

o Melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran seni mempertahankan diri.

• Mengelakkan diri daripada berinterakrasi dengan orang yang tidak dikenali.
• Melaporkan kepada pihak pentadbir sekiranya terdapat sesuatu yang mencurigakan berlaku.
• Tidak menumpang kenderaan orang yang tidak dikenali.

Peranan Ibu Bapa

• Bekerjasama dengan pihak sekolah dalam merancang dan menguatkuasakan keselamatan murid pergi balik sekolah.
• Membantu pihak sekolah melaksanakan gotong-royong membersihkan kawasan semak laluan ke sekolah, meronda dan bergiat aktif dalam Jawatankuasa Permuafakatan.
• Memastikan anak selamat pergi dan balik sekolah.
• Mendidik anak dalam aspek keselamatan diri.
• Memastikan anak-anak pergi dan balik sekolah dengan kawan-kawan atau dalam kumpulan.
• Memastikan anak-anak supaya tidak berinteraksi atau mengikut orang yang tidak dikenali.


TATACARA MURID

Pergi dan balik menggunakan kenderaan awam

• Kenderaan awam yang dimaksudkan ialah bas, teksi, van, kereta api, LRT atau komuter.
• Kenal pasti kenderaan yang biasa dinaiki sama ada melalui nombor plat, pemandu, kelindan atau identiti khas.
• Memastikan kenderaan betul-betul berhenti apabila turun atau naik.
• Berbaris dan tidak berebut/ tunggu giliran semasa turun atau naik dan tidak bertolak-tolak dengan rakan.
• Sekiranya duduk di kerusi, duduklah dengan tertib.
• Sekiranya tiada tempat duduk dan terpaksa berdiri, pastikan berdiri dalam keadaan stabil dengan memegang pemegang yang disediakan dan jangan berdiri di tangga.
• Jangan bergurau senda, bermain, melambai tangan keluar, mengeluarkan atau menjengokkan kepala, mencampak barang keluar atau lain-lain perbuatan yang boleh membahayakan diri dan orang lain.
• Setelah tiba di destinasi, turunlah dari kenderaan yang dinaiki setelah betul-betul berhenti dan jangan berebut/bertolak-tolak dan terus menuju ke rumah/sekolah.
• Sekiranya perlu menyeberang jalan pastikan tiada kenderaan di kiri dan kanan.
• Apabila berlaku kemalangan, ikut panduan Tatacara Berlaku Kemalangan.

Pergi dan balik menggunakan kenderaan sendiri

Kenderaan sendiri yang dimaksudkan ialah kenderaan yang dibawa oleh pelajar sendiri seperti kereta, motorsikal dan juga basikal

• Memandu kereta
o Memastikan kereta ada insurans lengkap dengan cukai jalan dan dalam keadaaan sempurna.
o Pelajar yang menggunakan kereta juga mesti mempunyai lesen memandu.
o Sentiasa memakai tali pinggang keledar ketika memandu.
o Mematuhi peraturan lalu lintas di jalan raya.
o Apabila tiba di sekolah, patuhi peraturan lalu lintas di sekolah
o Sekiranya berlaku kemalangan minta bantuan orang terdekat dan laporkan segera kepada guru/guru bertugas/pentadbir.
o Seterusnya ikut tatacara kemalangan sekiranya berlaku kemalangan.

• Menggunakan motosikal
o Memastikan motosikal ada insuran lengkap dengan cukai jalan dan dalam keadaan sempurna.
o Pelajar yang menggunakan motosikal juga mesti mempunyai lesen memandu
o Gunakan topi keledar dan pakaian yang boleh memantulkan cahaya
o Patuhi peraturan di jalan raya.
o Jangan berlumba, bergandingan, bergurau senda semasa menunggang atau membawa pembonceng lebih daripada seorang.
o Apabila tiba di sekolah, patuhi peraturan lalu lintas di sekolah.
o Sekiranya berlaku kemalangan minta bantuan orang terdekat dan laporkan segera kepada guru/guru bertugas/pentadbir.
o Seterusnya ikut prosedur sekiranya berlaku kemalangan.

• Menggunakan basikal
o Mahir menggunakan basikal dan pastikan basikal berkeadaan baik.
o Jangan bawa pembonceng.
o Jangan berlumba.
o Jangan bergurau senda.
o Jangan mengayuh terlalu laju.
o Jangan bersaing-saing/bergandingan.
o Setelah tiba di sekolah ikut peraturan lalu lintas sekolah.
o Sekiranya berlaku kemalangan ikut prosedur apabila kemalangan berlaku.


Pergi dan balik dengan berjalan kaki

• Melintas jalan
o Cari tempat terdekat dan selamat untuk melintas jalan.
o Hendaklah berdiri di atas kaki lima jalan.
o Undur ke belakang dua langkah apabila melihat kendraan besar.
o Ikut arahan trafik warden jika ada.
o Apabila hendak melintas jalan lihat kanan, lihat kiri dan lihat kanan semula. Melintas apabila sudah pasti tiada kenderaan.
• Tempat yang selamat melintas jalan raya
o Lintasan pejalan kaki (lintasan zebra)
o Laluan bawah.
o Jejantas.
o Dekat lampu isyarat.
o Di tempat-tempat yang terdapat anggota polis, warden trafik dan pengawal lalu lintas.
o Jangan melintas jalan di celah-celah kenderaan.

• Cara Melintas jalan di lintasan pejalan kaki
o Nampakkan diri anda kepada pemandu kenderaan.
o Setelah semua kenderaan berhenti, barulah melintas dengan cermat.

• Cara Melintas Jalan di Lampu Isyarat
o Melintas apabila lampu pejalan kaki berwarna hijau.
o Apabila lampu hijau berkelip-kelip, jangan melintas/jika sedang melintas, teruskan melintas secepat mungkin.
• Berjalan kaki di kawasan awam
o Gunakan kaki lima jalan sebelah kiri.
o Jika tiada kaki lima, gunakan bahu jalan sebelah kanan.
o Jangan bergandingan.

Dihantar oleh ibu bapa/penjaga

• Jika menggunakan kereta atau van pastikan pintu kenderaan ditutup sempurna sebelum kenderaan bergerak.
• Gunakan tali pinggang keledar/ topi keledar.
• Jangan bermain/ bergurau semasa kenderaan bergerak.
• Memastikan kenderaan betul-betul berhenti sebelum turun/naik kenderaan.
• Jika perlu melintas jalan, pandang kanan, kiri dan kanan sebelum melintas.


TATACARA IBU BAPA

• Memastikan anak memiliki lesen memandu, insuran, cukai jalan dan kenderaan dalam keadaan sempurna.
• Menemani anak menaiki bas, berjalan kaki dalam keadaan gelap/hujan/sunyi dan menunggu kenderaan tiba.
• Mengingatkan/menasihat anak supaya sentiasa berwaspada dengan orang-orang yang tidak dikenali dan berhati-hati semasa pergi dan balik sekolah.
• Mengambil tahu waktu anak pergi dan balik sekolah dan menghubungi pihak sekolah sekiranya anak lewat balik.
• Memastikan anak memakai pakaian cerah atau bahan reflektif jika berjalan dalam keadaan cuaca gelap.
• Memastikan anak berjalan secara berkumpulan jika melalui kawasan yang semak/sunyi/gelap.

HAJI ZOLKAPLY BIN YUNUS
PENGETUA
SMK TUN MUTAHIR
24 JANUARI 2011