Monday, December 31, 2012

KATA ALU-ALUAN PENGETUA UNTUK SESI PERSEKOLAHAN SMK ISKANDAR SHAH 2013



Assalamualaikum wbt, Salam Satu Malaysia dan Salam ‘Melaka Maju, Negeriku Sayang,
Negeri Bandar, Teknologi Hijau’.

                      Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat kembali bertugas kepada guru-guru dan semua staf sokongan sekolah ini. Marilah kita berdoa semoga sesi persekolahan tahun 2013 ini akan menjanjikan kejayaan yang lebih cemerlang bagi sekolah kita dalam semua aspek.
                      Sesungguhnya, sepanjang tahun 2012 yang lalu, kita telah banyak melakukan inovasi dan perubahan. Selain itu, kita juga telah menunjukkan beberapa peningkatan kualiti dalam pengurusan dan pentadbiran serta pengajaran dan pembelajaran. Impaknya, pengurusan dan pentadbiran telah bertambah cekap dan berkesan manakala mutu pengajaran dan pembelajaran semakin bertambah baik.
                      Justeru itu, tahun 2013 sekali lagi saya mengharapkan semua warga sekolah akan dapat berpadu tenaga untuk terus cemerlang dalam tugas masing-masing. Sebagai mana yang kita sedia maklum, tahun 2013 bermulanya gelombang pertama pelaksanaan transformasi pendidikan . Setiap warga sekolah adalah diharapkan akan dapat memahami sepenuhnya aspirasi  Kementerian Pelajaran Malaysia seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
                      Semua warga sekolah juga diharapkan dapat menghasilkan beberapa inovasi lagi dalam tugas masing-masing sama ada secara individu mahu pun kerja berpasukan. Dengan adanya inovasi baru, kita akan dapat membuat lebih banyak perubahan dan penambahbaikan yang berterusan dari semasa ke semasa.
                      Akhir kata, apa pun cabaran dan transformasi yang datang kita harus berfikiran positif dan menerima dengan minda yang terbuka. Kita mesti bersatu untuk mencapai kecemerlangan bak kata pepatah “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.” Teruskan tekad, gandakan usaha untuk tahun 2013 dengan harapan SMK Iskandar Shah akan terus cemerlang dalam semua aspek.
Sekian. Wassalam.